Wednesday, May 19, 2010

Unsur Remaja Urban


Dalam kehidupan serba moden dan berdendangkan arus pembangunan, peranan remaja dalam globalisasi memang bukan suatu tugas yang mudah. Jika dibandingkan dengan zaman dahulu, remaja pada abad ini menghadapi saingan yang sengit antara satu sama lain dek pembangunan teknologi maklumat. Namun dalam kesukaran untuk menghadapi liku kehidupan, remaja sekarang masih mampu tersenyum dengan segala kemudahan yang ada. Walau bagaimanapun, memang sukar untuk disangkal remaja pada zaman kini memang sukar untuk membawa cabaran masa hadapan dek majoriti daripada mereka mulai dibuai mimpi teknologi mudah dan leka dengan unsur urbanisasi. Sememangnya perkara ini bukanlah sesuatu yang disenangi.
xxx
Memang sudah menjadi norma kehidupan apabila remaja mulai menentang dan menolak prinsip yang ada dalam kehidupan. Pada masa inilah remaja akan kian membuka mata dan  minda untuk menerima ideologi dan doktrin 'ringan' untuk dianuti namun 'unsur keremajaan' ini boleh dibahagikan kepada dua :
  1. Remaja celik. Mereka berfikir dan menyelidik sebelum menyokong dan membantah sesuatu perkara.
  2. Remaja 'pak turut'. Mereka membuat keputusan semata-mata untuk mengikut trend peredaran zaman.
Walau apa jua sekalipun, isu seperti ketuanan Melayu, hak asasi manusia dan pendidikan masih lagi menghantui minda saya. Saya masih celaru; semua rakyat membayar cukai namun mengapakah hanya ketuanan diberi kepada Melayu? Dimanakah hak ketuanan Cina dan India? Mengapakah sistem pendidikan di negara kita mempunyai pelbagai aliran? Adakah kerana kita bukan bangsa yang sama? Apa pula makna bangsa Malaysia? Saya enggan mengulas lanjut perkara berikut kerana ulasan saya pasti berlanjutan sehingga petang tulat.
 xxx
Walaupun dibantu dengan alat teknologi canggih, anak muda remaja sekarang seharusnya menghadapi cabaran yang lebih sukar pada masa sekarang kerana lahirnya intelektual dan cendekiawan yang ramai untuk merebut tempat terbaik dalam komuniti bestari. Maka sesiapa sahaja yang tercicir pasti akan dipingggirkan. Berbanding dengan pada masa dahulu, dengan hanya sedikit kejayaan anda mampu menggamit segala-galanya. Sekarang? Habuk pun tiada.
xxx
Perkara yang paling saya takutkan dalam dunia sekarang semestinya kehancuran moral dalam manusia. Kehancuran moral ini termasuklah unsur korupsi dan rasuah. Gejala ini sememangnya bakal mengganggu perjalanan hidup rakyat kerana gejala ini tidak membabitkan suatu individu sahaja namun bakal memberikan impak negatif kepada sesuatu komuniti itu.
xxx
Memang menjadi harapan dan impian saya untuk melihat bangsa Malaysia (saya ingin mengelak me'Melayu''Cina''India'kan bangsa kita yang satu) dapat duduk sama tinggi (bukan rendah) dan berdiri sama lebih tinggi (unsur hiperbola) dalam setiap sektor yang ditawarkan. Hanya satu insiden saja yang kita perlukan untuk dijadikan indikator perkara ini; apabila bangsa Malaysia mampu makan dalam satu dulang.
 xxx
Perkara yang paling sukar dalam hidup saya ketika ini : 
  1. Menunggu keputusan SPM.
  2. Mengambil ujian memandu (pegawai JPJ sepatutnya berpakaian preman untuk mengelakkan ketakutan dalam kalangan pengambil ujian).
Dua perkara ini sememangnya mengajar saya tentang erti persediaan sebelum melakukan sesuatu dan kawalan emosi yang optimum.
xxx
Peranan keluarga dan rakan-rakan merupakan sesuatu yang berbeza. Rakan-rakan banyak membantu dalam situasi yang mana memerlukan pemikiran dalam situasi yang sebenar (seperti hal dalam pembelajaran) manakala keluarga banyak memainkan peranan dalam hal yang lebih penting (ini sesuatu yang pasti, sekiranya keputusan diambil tanpa pengetahuan mereka, kesemua akibat yang dihadapi hanya akan dituding kepada diri sendiri).
xxx
Hasil penulisan tidak seberapa ini hanyalah nukilan seorang lepasan SPM yang baru sahaja berumur 18 tahun yang cuma menulis mengikut apa yang ada dalam minda pemberontakan sahaja. Perkara yang paling saya tidak senangi apabila menyuarakan pendapat ialah bangkangan oleh 'golongan dewasa' yang kononnnya remaja seperti kami tidak boleh meluahkan pandangan dan idea kerana kami 'cetek ilmu' manakala mereka pula 'banyak pengalaman'. Kalau begitu; izinkan saya mencuri sedikit pengalaman anda.

1 comment: